Projek Lampu Jalan Bernilai RM2 Juta Perkukuh Keselamatan 49 Kampung di Bukit Semuja

Disiarkan pada 15 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
Projek Lampu Jalan Bernilai RM2 Juta Perkukuh Keselamatan 49 Kampung di Bukit Semuja
 
SERIAN: Sebanyak 49 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja bakal menikmati kemudahan lampu jalan menerusi projek di bawah inisiatif kerajaan negeri yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata pelaksanaan projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk, khususnya pada waktu malam, terus dipertingkatkan.

Menurut beliau, bagi fasa pertama, sebanyak 22 kampung telah disenaraikan dengan kos keseluruhan RM755,000, manakala fasa kedua melibatkan 27 kampung yang akan dilaksanakan seterusnya.

“Pelaksanaan projek lampu jalan ini amat penting dalam meningkatkan tahap keselamatan penduduk kampung, terutamanya pada waktu malam serta memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Kita mahu memastikan kampung-kampung di kawasan Bukit Semuja tidak ketinggalan dari segi kemudahan asas dan terus menikmati pembangunan yang seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemberkatan Beras Baharu sempena Pra-Perasmian Dewan Baharu Kampung Riih Daso, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan sesi ramah mesra bersama penduduk serta pra-perasmian dewan baharu kampung yang dijadualkan dirasmikan secara rasmi pada 5 Jun ini bersempena sambutan Gawai Dayak Bukit Semuja.

Menurut John Ilus, pembinaan dewan tersebut bakal menjadi pusat aktiviti masyarakat termasuk program kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan pembangunan ekonomi setempat.

"Kita mahu melihat kampung-kampung di kawasan Bukit Semuja terus maju dari segi infrastruktur dan ekonomi.

“Semua ini memerlukan sokongan serta kerjasama padu daripada penduduk kampung," ujarnya lagi.

Hadir sama Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Datu Ik Pahon Joyik, Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph dan tetamu lain.-EDISI UKAS