TEBEDU: Sebanyak tujuh projek pembangunan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2025 telah diserahkan secara rasmi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.1 juta.
Sesi penyerahan tapak projek dilaksanakan melalui majlis menandatangani dokumen penyerahan tapak projek yang disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada pada Rabu.
Antara projek yang diserahkan termasuk naik taraf Jalan Pertanian di Kampung Plaman Nyabet, Kampung Jenan, Kampung Sejijag Mawang dan Kampung Payau Burus.
Projek lain merangkumi pembinaan benteng jalan utama ke Kampung Tubih Mawang, pembinaan longkang konkrit di tepi Jalan Salad Kampung Bidak Plaman, serta naik taraf kawasan perkuburan orang Islam di Kampung Darul Imam, Tebedu.
Kesemua projek Jalan Pertanian dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.
Dr Simon Sinang dalam kesempatan itu menasihati kontraktor agar memanfaatkan keadaan cuaca yang baik untuk memulakan kerja dengan segera, sekali gus memastikan projek disiapkan lebih awal dan mengelakkan sebarang kerugian.
Menurut beliau, inisiatif ini bertujuan menggalakkan penduduk kampung membuka dan mengusahakan tanah terbiar dengan tanaman komersial seperti kelapa sawit, nanas dan kopi, sekali gus meningkatkan pendapatan serta taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar di kawasan DUN Tebedu. -EDISI UKAS