SERIAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian terus memperkukuh pendekatan tadbir urus responsif dan berorientasikan rakyat apabila menganjurkan sesi ramah mesra bersama media Bahagian Serian yang berlangsung baru-baru ini.
Program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama strategik antara JKR Bahagian Serian dan pengamal media tempatan dalam memastikan penyampaian maklumat berkaitan pembangunan infrastruktur dapat disalurkan secara tepat, telus dan berkesan kepada masyarakat.
Jurutera Bahagian Serian, Ir. Ts. Chiresly Anak Francis Kureng berkata, peranan media amat penting sebagai rakan strategik jabatan dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan berfakta kepada orang awam, khususnya berkaitan status dan pelaksanaan projek pembangunan oleh JKR.
“Melalui sesi seperti ini, kita dapat berkongsi maklumat dengan lebih berkesan di samping mendapatkan maklum balas daripada pihak media bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Sesi ini juga merupakan platform komunikasi dua hala untuk pertukaran pendapat, maklum balas dan cadangan secara terbuka agar JKR Sarawak, khususnya JKR Bahagian Serian, dapat terus memperkukuh imej serta kredibiliti jabatan melalui liputan media yang berfakta dan seimbang.
“Dalam masa yang sama, kami amat menekankan kepentingan sense of urgency dalam pengurusan aduan, sejajar dengan polisi semasa JKR Sarawak yang menetapkan setiap aduan perlu ditangani dalam tempoh 24 jam. Sehubungan itu, JKR Serian turut memberi fokus kepada tiga platform aduan utama iaitu Talikhidmat, media sosial dan kumpulan WhatsApp,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan responsif tersebut selaras dengan komitmen JKR Sarawak dalam mempertingkat kecekapan sistem penyampaian serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat ditangani secara pantas dan sistematik.
Beliau turut menegaskan komitmen JKR Bahagian Serian dalam memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan, mematuhi spesifikasi teknikal serta garis panduan yang telah ditetapkan bagi menjamin kualiti dan keselamatan infrastruktur.
Sesi ramah mesra tersebut turut memberi ruang kepada wakil media untuk bertukar pandangan, mengemukakan cadangan serta memahami dengan lebih jelas peranan dan fungsi JKR dalam pembangunan infrastruktur di Bahagian Serian.
Antara wakil media yang hadir ialah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Serian, Serian Timungen, Pusat Khidmat P198 Puncak Borneo, Pusat Khidmat P199 Serian, Pusat Khidmat N16 Muara Tuang, Pusat Khidmat N19 Mambong, Pusat Khidmat N20 Tarat, Pusat Khidmat N21 Tebedu, Pusat Khidmat N22 Kedup, Pusat Khidmat N23 Bukit Semuja, Pusat Khidmat N30 Balai Ringin, Majlis Daerah Siburan serta Sarawak Tribune.-EDISI UKAS