Seminar Saudara Kita Perkukuh Keharmonian Masyarakat Majmuk Sarawak

Disiarkan pada 07 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
Seminar Saudara Kita Perkukuh Keharmonian Masyarakat Majmuk Sarawak
 
SERIAN: Seminar Saudara Kita Tahun 1447H/2026M yang dianjurkan oleh Bahagian Kemajuan Saudara Kita, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) menjadi platform penting dalam memperkukuh keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di Sarawak melalui pendekatan pendidikan, kefahaman dan toleransi.

Pengarah JAIS Mual Suaud berkata, seminar itu diadakan untuk memberi pendedahan mengenai nilai toleransi, keharmonian dan kepelbagaian budaya di Sarawak, di samping menyemai semangat kebersamaan serta saling menghormati demi kesejahteraan negeri.

Justeru, katanya, penganjuran program seumpama itu mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

“Program ini juga berperanan sebagai platform pertukaran idea, perkongsian pengalaman serta memperkukuhkan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan masyarakat setempat,” katanya semasa berucap dalam majlis penangguhan program tersebut di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian pada Sabtu.

Mual turut menjelaskan bahawa penubuhan Bahagian Kemajuan Saudara Kita adalah bertujuan untuk memberi tumpuan khusus kepada kebajikan dan pembangunan saudara kita, khususnya dalam aspek ukhwah, bimbingan dan sokongan berterusan.

Seramai 400 orang menyertai program berkenaan yang terdiri daripada Urusetia Saudara Kita (USK) Serian, Kuching dan Samarahan, wakil HIKMAH, YADIM, Hidayah Centre Foundation, PERKIM, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian (LAKIS) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Program diisi dengan ceramah “Puasa Ramadan dari Perspektif Kesihatan” oleh Dr. Nurul Sya’adah Hassan dan “Amalan Baik di Bulan Puasa” yang disampaikan oleh Datu Khalidi Ibrahim.-EDISI UKAS