Penyerahan Limau Mandarin Cerminkan Keharmonian & Perpaduan Masyarakat

Disiarkan pada 10 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
Penyerahan Limau Mandarin Cerminkan Keharmonian & Perpaduan Masyarakat
 
SERIAN: Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Bahagian Serian terus diperkukuh menerusi Majlis Simbolik Penyerahan Limau Mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina 2026 yang berlangsung di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, pada petang Isnin.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph dan dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, wakil agensi kerajaan serta warga kerja pentadbiran Bahagian Serian.

Suasana majlis dimeriahkan dengan persembahan Tarian Singa yang melambangkan tuah, kemakmuran dan kesejahteraan, sekali gus mencerminkan keharmonian budaya serta semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Dalam ucapannya, Caroline merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir serta menzahirkan harapan agar tahun 2026 membawa lebih banyak peluang dan perkembangan positif, khususnya dalam aspek sosioekonomi di Bahagian Serian.

Beliau turut menegaskan bahawa sambutan Tahun Baru Cina bukan sahaja melambangkan permulaan baharu, malah menjadi simbol sikap optimistik dan harapan agar Bahagian Serian terus maju serta menerima berita-berita yang baik, termasuk peningkatan taraf kehidupan rakyat dan kemajuan kerjaya dalam kalangan penjawat awam.

Menurut beliau, kepelbagaian budaya yang wujud di Bahagian Serian, khususnya dengan kehadiran komuniti Cina yang signifikan di kawasan Siburan dan Serian, perlu terus diraikan melalui amalan hidup harmoni, saling mengunjungi dan menghormati perayaan antara kaum.

Antara pengisian majlis ialah penyerahan limau mandarin secara simbolik kepada wakil agensi kerajaan di Bahagian Serian, pemberian angpau kepada kakitangan terpilih serta cabutan nama bertuah yang menambah kemeriahan suasana.

Mengakhiri ucapannya, Caroline merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Daerah Serian selaku peneraju penganjuran majlis bersama pasukan beliau, selain sokongan Temenggong Gee Ah Chok serta kapitan-kapitan Cina di Bahagian Serian yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran majlis tersebut.-EDISI UKAS