Kepakaran Semikonduktor Sarawak Tarik Perhatian Indonesia

Disiarkan pada 04 Feb 2026
Sumber Berita: TVS
Kepakaran semikonduktor Sarawak tarik perhatian Indonesia

 

SERIAN, 4 Feb: Indonesia menyatakan minat untuk mempelajari model pembangunan industri semikonduktor Sarawak, sekali gus mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan teknologi negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau mendedahkan baru-baru ini telah dijemput oleh Kerajaan Indonesia untuk berkongsi pengalaman Sarawak dalam menjana pendapatan serta membangunkan industri berteknologi tinggi, khususnya dalam bidang semikonduktor.

“Malah, menteri mereka sendiri menyatakan hasrat untuk memberikan saya ‘Gold Visa’, membolehkan saya pada bila-bila masa ke Indonesia, khususnya Jakarta, bagi berkongsi pengetahuan berkaitan industri semikonduktor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kali Ke-65 Peringkat Sarawak di Pusat Persidangan Serian, pada Rabu.

Menurut Abang Johari, pencapaian itu membuktikan Sarawak berada di landasan tepat dalam meneroka bidang ilmu baharu berimpak tinggi, termasuk pembangunan cip semikonduktor generasi terkini yang kini diterajui oleh anak tempatan.

Beliau menekankan bahawa usaha berkenaan diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama pakar semikonduktor antarabangsa, termasuk universiti terkemuka dari United Kingdom.

Jelas beliau, langkah tersebut bakal meletakkan Sarawak sebagai pemain global dalam bidang ilmu baharu bertaraf dunia.

“Hari ini, Sarawak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Bristol. Sebagai permulaan, tiga pelajar PhD Sarawak dihantar untuk menerokai bidang ilmu semikonduktor generasi baharu.

“Jika ini berjaya direalisasikan, Sarawak bukan sahaja menjadi pemain utama di peringkat negeri atau negara, malah pemain dunia bertaraf antarabangsa dalam bidang ilmu baharu. InsyaAllah, kita doakan moga usaha ini berjaya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan terus meneroka bidang baharu seperti industri aeroangkasa dengan menyediakan inisiatif skim pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). – TVS