SERIAN: Jubni Sulong dan Nur Syakura Mohammad Musa masing-masing dinobatkan sebagai johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65 dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Serian Conference Centre pada Sabtu, selepas pertandingan itu berlangsung selama empat hari.
Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, piala pusingan dan iringan, hadiah iringan, sijil penyertaan serta pakej umrah.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Naib johan qari dan qariah dimenangi oleh Ahmad Mukhlis Yahya dan Roziah Ayup yang menerima wang tunai RM7,000, piala iringan, hadiah iringan serta sijil penyertaan, manakala tempat ketiga disandang oleh Hadi Mohd Sharkawi dan Farra Liza Mohamad Musa dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala iringan, hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Bagi kategori Hafazan Al-Quran Juzuk 1 hingga 10, johan hafiz dan hafizah dimenangi oleh Azizul Azmin Abdul Razak dan Adeela Bokhari, masing-masing menerima wang tunai RM3,000, piala iringan, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Kategori Juzuk 1 hingga 20 pula dimenangi oleh Harith Zakwan Sebli dan Izyan Nur Fazreena Ismail, yang membawa pulang wang tunai RM4,000, piala, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Manakala kategori Juzuk 1 hingga 30 dimenangi oleh Muhammad Najdat Arsyad Madzalan Abdul Rahman, yang membawa pulang wang tunai RM5,000, piala, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Seramai 22 peserta tilawah yang terdiri daripada 13 qari dan 9 qariah serta 21 peserta hafazan yang melibatkan 15 hafiz dan enam hafizah telah menyertai telah menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65 ini.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merangkap Pengerusi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang Datuk Idris Buang, Timbalan Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Kedup Datuk Martin Ben, ADUN Bukit Semuja John Ilus, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Mual Su’aud.-EDISI UKAS
Foto: Hazrin Sunaini