Majlis Sejambak Kasih TBC 2026 Manifestasi Keprihatinan Kerajaan Sarawak

Disiarkan pada 07 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
Majlis Sejambak Kasih TBC 2026 Manifestasi Keprihatinan Kerajaan Sarawak
 
SERIAN: Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan golongan penerima bantuan kebajikan terus disantuni, khususnya sempena musim perayaan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif yang dilaksanakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

“Majlis ini bukan sekadar dilaksanakan sebagai rutin tahunan, malah dirangka dengan objektif yang jelas dan berkesan terutama sekali meringankan beban kewangan penerima bantuan kebajikan dalam membuat persediaan menyambut perayaan, mengeratkan hubungan silaturahim antara agensi penganjur dan penerima bantuan, serta meraikan salah satu perayaan utama negara selaras dengan konsep kehidupan masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis berkenaan bagi Bahagian Serian yang meraikan 100 penerima bantuan bulanan kebajikan berbangsa Cina di Dewan Serbaguna Tapah, Siburan pada Sabtu.

Dato Sri Roland turut memaklumkan, rekod terkini JKM Sarawak menunjukkan seramai 2,734 penerima bantuan bulanan kebajikan aktif direkodkan di Bahagian Serian merangkumi kawasan DUN Tarat, Tebedu, Kedup, Bukit Semuja dan Balai Ringin, dengan 11.7 peratus daripadanya terdiri daripada penerima kaum Cina.

“Rekod ini jelas menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak melalui JKMS dalam memastikan golongan berpendapatan rendah terus menjadi fokus utama dan tidak tersisih daripada menikmati kegembiraan musim perayaan,” katanya lagi.

Turut hadir semasa majlis ini ialah Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial mewakili Pengarah JKMS Nurin Chunggat, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek, Pegawai Tadbir mewakili Residen Bahagian Serian Esther Najoh, Setiausaha Majlis Daerah Serian Tay Guan Huat serta Ketua Polis Daerah Serian Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian.-EDISI UKAS