
SERIAN: Sebanyak 26 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 dengan nilai keseluruhan RM5 juta telah diluluskan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, projek-projek tersebut melibatkan kampung-kampung, sebuah taman komuniti (perumahan) serta institusi pendidikan termasuk sebuah sekolah kerajaan dan sebuah sekolah swasta.
Menurut beliau, satu perjumpaan telah diadakan di Pusat Khidmat ADUN Bukit Semuja pada Jumaat bagi menghimpunkan semua penerima projek serta agensi berkaitan.
“Perjumpaan ini diadakan bagi memberi penerangan berkaitan kaedah pelaksanaan projek RTP serta pengurusan projek di peringkat kampung.
“Kita mahu penerima iaitu Ketua Kampung untuk memaklumkan kepada penduduk setempat mengenai kelulusan projek yang diterima,” katanya.
John menjelaskan, bagi pelaksanaan RTP kali ini, pihaknya telah menyenaraikan projek bersama agensi teknikal serta memohon agar pihak teknikal turun ke tapak projek lebih awal bagi mengenal pasti skop kerja yang diperlukan.
Beliau berkata, pendekatan ini akan memudahkan pihak urusetia, agensi pelaksana dan teknikal untuk memperincikan skop kerja selepas perjumpaan sekali gus melancarkan pelaksanaan projek.
Menurutnya, kaedah penyelarasan awal antara wakil rakyat, agensi pelaksana dan penerima projek dilihat lebih berkesan bagi memastikan isu tanggungjawab pelaksanaan dapat diperjelaskan sejak awal tahun.-EDISI UKAS