Dua Projek Naik Taraf Dewan Serbaguna RTP Dinilai di DUN Tarat

Posted on 04 Feb 2026
Source of News: UKAS
Dua Projek Naik Taraf Dewan Serbaguna RTP Dinilai di DUN Tarat
 
TEBEDU: Setiap projek Kerajaan yang dilaksanakan di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan bagi memastikan kemudahan yang siap kelak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat.

Sehubungan itu, satu lawatan pemeriksaan projek telah diadakan pada Rabu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat melibatkan dua projek naik taraf dewan serbaguna.

Lawatan tersebut bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut prosedur serta memenuhi piawaian yang ditetapkan sebelum penilaian akhir dan proses pembayaran dilaksanakan.

Dua projek yang terlibat ialah Naik Taraf Dewan Serbaguna Kampung Bisira Rayang dan Naik Taraf Dewan Serbaguna Kampung Plaman Dunuk, masing-masing melibatkan kos sebanyak RM100,000 dan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Serian (MDS) sebagai agensi pelaksana.

Lawatan tapak ini turut melibatkan kerjasama pihak agensi berkaitan dan kontraktor bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap kualiti kerja, tahap kemajuan projek serta pematuhan kepada skop yang telah diluluskan.

Pelaksanaan dan pemantauan rapi terhadap projek RTP ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat. -EDISI UKAS