ADUN Balai Ringin Santuni Penduduk Balai Ringin

Posted on 30 Jan 2026
Source of News: UKAS
ADUN Balai Ringin Santuni Penduduk Balai Ringin

 
BALAI RINGIN: Pendekatan kepimpinan berteraskan turun padang terus menjadi keutamaan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan apabila beliau mengadakan sesi temu santai bersama pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.

Sesi yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat N.30 Balai Ringin itu dihadiri pemimpin masyarakat, ketua-ketua kampung serta wakil penduduk setempat, sebagai platform memperkukuh hubungan kerja serta meneliti isu pembangunan dan keperluan semasa di peringkat akar umbi.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong, Penghulu Kawasan Jaong Pantu, Penghulu Judi Inau serta beberapa pegawai pentadbiran daerah.

Antara perkara utama yang dibincangkan merangkumi hal ehwal pentadbiran di peringkat kampung, status pelaksanaan projek pembangunan sedia ada, selain isu berkaitan kemudahan asas dan kebajikan penduduk yang menjadi tumpuan utama kerajaan Sarawak.

Dalam ucapannya, Datuk Snowdan yang juga ADUN Balai Ringin menegaskan bahawa maklum balas langsung daripada rakyat amat penting dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan projek kerajaan, termasuk yang melibatkan pembangunan komuniti dan pemerkasaan ekonomi setempat, dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berimpak tinggi. -EDISI UKAS