SERIAN: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Serian akan terus mempergiatkan usaha mengadakan taklimat Projek Dokumentasi Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Parlimen Serian.
Taklimat itu bagi memastikan semua kampung Bidayuh yang berminat dapat memanfaatkan inisiatif tersebut sebelum tarikh akhir pada tahun 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, ia sebahagian daripada usaha berterusan untuk memberi penjelasan lebih terperinci mengenai hak milik serta sempadan tanah adat kepada penduduk setempat.
Menurutnya, program dokumentasi tanah ini adalah inisiatif DBNA yang telah dilaksanakan sejak tahun 2009 dan merangkumi keseluruhan kawasan penempatan kaum Bidayuh, bermula dari Lundu sehingga ke Serian.
“Inisiatif ini amat penting bagi masyarakat Bidayuh kerana ia membantu mengenal pasti hak milik tanah secara sah dan sistematik. Ia juga dapat mengurangkan kekeliruan serta pertikaian berkaitan sempadan tanah yang telah berlarutan sekian lama,” katanya ketika berucap di sini pada Ahad.
Beliau menambah, proses dokumentasi ini bukan sahaja memudahkan penduduk memahami kedudukan tanah mereka, malah turut menjadi langkah awal ke arah penyelesaian isu pemilikan tanah secara lebih teratur dan sah di sisi undang-undang.
Dalam majlis yang sama, John turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) atas pelaksanaan kerja-kerja pengukuran kampung tradisi yang sedang dijalankan di Kampung Koran Empaneg.
“Usaha JTS dalam melaksanakan pengukuran ini sangat dihargai. Saya berharap kerja-kerja pengukuran tanah pertanian yang bakal menyusul selepas ini akan dapat menyelesaikan sepenuhnya segala isu sempadan tanah kampung dan memperjelaskan hak milik individu seperti yang diharapkan penduduk,” jelasnya.
Beliau juga menyeru agar lebih ramai penduduk kampung mengambil peluang menyertai taklimat yang dianjurkan DBNA bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam proses dokumentasi sebelum tempoh pelaksanaan tamat pada 2030.-EDISI UKAS