SERIAN: Kerajaan Sarawak menyerahkan pampasan tanah berjumlah RM8.36 juta kepada penduduk terlibat bagi melancarkan pelaksanaan Projek Lebuh Raya Serian–Gedong–Samarahan, Pakej 1A dan 1B, dalam satu majlis rasmi di Dewan Serbaguna Kampung Rayang, di sini pada Jumaat.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 70 keping cek diserahkan kepada 64 orang penerima melibatkan penduduk Kampung Rayang dan Kampung Sebemban dengan penyerahan fasa pertama membabitkan 49 penerima dari Kampung Rayang serta 15 penerima dari Kampung Sebemban.
Majlis penyerahan pampasan itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menurut beliau, pampasan tersebut melibatkan pengambilan tanah bagi Pakej 1A dari Simpang Rayang – Munggu Kopi – Tanah Puteh sepanjang 9.720 kilometer, serta Pakej 1B dari Simpang Tanah Puteh – Gedong Isthmus (Sektor Serian) sepanjang 8.5 kilometer.
Beliau berkata, projek ini merupakan antara inisiatif infrastruktur strategik kerajaan Sarawak yang bukan sahaja menambah baik jaringan jalan raya sedia ada, malah meningkatkan tahap keselamatan, kelancaran pergerakan serta akses penduduk kepada perkhidmatan awam.
Projek Lebuh Raya Dwi-Lorong Serian–Gedong–Samarahan itu melibatkan pembinaan jalan empat lorong dua hala lengkap dengan lorong ART di bahagian tengah, dengan jajaran keseluruhan sepanjang 45.65 kilometer dari Serian ke Samarahan, termasuk kira-kira 15 kilometer dalam Bahagian Serian.-EDISI UKAS