SERIAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siburan menjadi tumpuan apabila berlangsungnya program Junior Saintis X Jr Xplorer, satu inisiatif berimpak tinggi dalam menyemai minat sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan pelajar sejak usia muda yang berlangsung baru-baru ini dengan penyertaan aktif para pelajar sekolah berkenaan.
Program tersebut merupakan kolaborasi strategik antara Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), selaras dengan Agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 100 yang menyasarkan pelaksanaan program di 100 buah sekolah di seluruh negara.
Menerusi program ini, para pelajar diberi pendedahan menyeluruh kepada pelbagai pengisian interaktif dan berteraskan teknologi masa depan, termasuk Bengkel STI yang memperkenalkan asas kecerdasan buatan (AI), STI Stage Games bagi menguji ketangkasan minda melalui aktiviti Smart Puzzle dan Cup Stacking, serta Pameran STI yang membolehkan pelajar merasai pengalaman pembelajaran secara hands-on.
Antara teknologi yang dipamerkan termasuk penggunaan peranti realiti maya seperti VR MetaQuest dan VR Pico, simulasi penerbangan melalui Flight Simulator, NEX Playground, serta konsol permainan terkini seperti PlayStation 5 dan Nintendo Switch.
Penganjuran program ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk belajar secara teori, malah membuka peluang kepada mereka untuk mengalami sendiri teknologi canggih yang bakal membentuk landskap masa depan negara.
Usaha berterusan sebegini dilihat mampu membudayakan STI dalam kehidupan seharian masyarakat, sekali gus melahirkan bakat muda berdaya saing yang bersedia menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.