Klinik Serian dan Siburan Perkukuh Penjagaan Kesihatan Primer

Disiarkan pada 16 Jan 2026
Sumber Berita: TVS
KK3 Serian
 
 

SIBURAN, 15 Jan: Pembangunan Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan dilihat seiring dengan pelaksanaan Reformasi Kesihatan MADANI yang menekankan pengukuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer kepada masyarakat.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah berkata, inisiatif tersebut memberi fokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan dan keselamatan pesakit, di samping memastikan penggunaan sumber yang lebih cekap, mampan dan berasaskan nilai.

Menurut beliau, kedua-dua klinik kesihatan itu direka bentuk bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer yang menyeluruh dan bersepadu, merangkumi rawatan pesakit luar, penjagaan kesihatan ibu dan anak, pengurusan penyakit tidak berjangkit, serta perkhidmatan farmasi dan pergigian.

“Selain itu, klinik ini juga berfungsi sebagai platform penting bagi aktiviti kesihatan awam dan promosi kesihatan komuniti. Reka bentuk fasiliti dan aliran pesakit dirancang dengan teliti bagi memastikan keselesaan pengguna, kecekapan operasi serta keupayaan menampung peningkatan permintaan pada masa hadapan, selaras dengan keperluan Sarawak yang mempunyai taburan penduduk yang pelbagai,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, klinik kesihatan berperanan sebagai titik sentuh utama antara masyarakat dan sistem kesihatan, bukan sahaja dari aspek rawatan, malah sebagai platform saringan awal penyakit tidak berjangkit, intervensi kesihatan mental di peringkat komuniti serta penyampaian perkhidmatan kesihatan ibu dan anak secara berterusan.

Klinik Kesihatan Serian dibangunkan dengan kos kira-kira RM23.9 juta melibatkan keluasan bangunan sekitar 2,790 meter persegi, dan direka untuk menyokong kapasiti perkhidmatan antara 300 hingga 500 pesakit sehari.

Klinik ini dijangka memberi liputan perkhidmatan kepada lebih 85,000 penduduk Daerah Serian.

Sementara itu, Klinik Kesihatan Siburan dibangunkan dengan kos sekitar RM28.7 juta dengan keluasan bangunan yang setara serta kapasiti perkhidmatan yang sama, dan dijangka memberi liputan perkhidmatan kepada hampir 81,000 penduduk di kawasan sekitar Siburan.— TVS