Klinik Kesihatan Serian & Siburan Dirasmikan, Tingkat Akses Kesihatan Komuniti

Disiarkan pada 15 Jan 2026
Sumber Berita: UKAS
KK3 Serian
 
 
Klinik Kesihatan Serian & Siburan Dirasmikan, Tingkat Akses Kesihatan Komuniti
SIBURAN: Kerajaan terus memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer negara dengan perasmian Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan pada Khamis.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Majlis berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperluas akses perkhidmatan kesihatan berkualiti, khususnya kepada penduduk luar bandar dan kawasan membangun di Sarawak.
Pembinaan Klinik Kesihatan Serian dan Klinik Kesihatan Siburan itu juga melambangkan iltizam kerajaan bahawa kesihatan merupakan satu amanah dan hak setiap rakyat tanpa mengira lokasi geografi.
Kedua-dua Klinik Kesihatan Jenis 3 itu direka sebagai Pusat Sehenti moden yang mampu menampung sehingga 500 pesakit sehari, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di hospital utama.
Klinik Kesihatan Serian kini berfungsi sebagai hab utama yang menyatukan pelbagai perkhidmatan kesihatan di bawah satu bumbung termasuk kemudahan X-Ray, makmal perubatan dan perkhidmatan rehabilitasi.
Manakala Klinik Kesihatan Siburan pula menyediakan perkhidmatan nilai tambah seperti Pusat Sehenti Rawatan Ketagihan (OSCA) serta penjagaan paliatif dan domisiliari, sejajar dengan evolusi penjagaan kesihatan primer ke arah pendekatan yang lebih holistik dan berfokuskan komuniti.
Klinik Kesihatan Serian dibangunkan dengan kos kira-kira RM23.9 juta melibatkan keluasan bangunan sekitar 2,790 meter persegi dan direka bagi menampung antara 300 hingga 500 pesakit sehari, dengan liputan perkhidmatan kepada lebih 85,000 penduduk Daerah Serian.
Manakala, Klinik Kesihatan Siburan melibatkan kos pembangunan sekitar RM28.7 juta dengan kapasiti perkhidmatan yang setara dan dijangka memberi manfaat kepada hampir 81,000 penduduk di kawasan sekitarnya.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (Kesihatan Awam dan Perumahan) Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Dato Sri Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr. Ismuni Bohari, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah serta barisan pengurusan kanan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.-EDISI UKAS