SERIAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian (JPBBS) melaksanakan misi penghantaran bantuan makanan dan perubatan ke Kampung Merakai dan Kampung Senyabah pada Selasa.
Ia susulan kejadian banjir yang menyebabkan kedua-dua kampung berkenaan terputus hubungan.
Turut menyertai misi tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalip Manap serta pegawai-pegawai agensi kerajaan di bawah JPBBS.
Penduduk Kampung Merakai membuat aduan selepas air banjir naik sehingga kira-kira satu kaki pada Jumaat lepas melepasi permukaan jalan utama, sekali gus menyebabkan laluan darat tidak dapat dilalui kenderaan.
Sementara itu, aduan daripada penduduk Kampung Senyabah pula diterima pada Isnin apabila jalan raya menuju ke kampung berkenaan turut dinaiki air banjir menyebabkan kedua-dua kampung terputus hubungan sepenuhnya kerana kenderaan tidak dapat melaluinya.
Susulan keadaan itu, JPBBS telah mengatur gerak kerja bagi misi penghantaran bantuan makanan dan ubatan ke kedua-dua kampung.
Memandangkan keadaan jalan raya masih tidak dapat dilalui, pasukan JPBBS terpaksa menggunakan khidmat bot milik penduduk kampung serta bantuan daripada agensi keselamatan dan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghantar bantuan melalui laluan air.
Bagi Kampung Merakai, seramai 97 Ketua Isi Rumah (KIR) terlibat dengan jumlah penduduk seramai 458 orang manakala di Kampung Senyabah pula seramai 14 KIR terjejas melibatkan 28 orang penduduk.
Usaha penghantaran bantuan ini dilaksanakan bagi memastikan keperluan asas serta bekalan perubatan penduduk terjejas dapat disalurkan dengan segera sementara menunggu keadaan banjir surut dan laluan darat kembali pulih. -EDISI UKAS