SIBURAN: Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn telah mengadakan lawatan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat pada Jumaat bagi meninjau secara langsung keadaan serta kebajikan mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.
Dalam lawatan tersebut, beliau terlebih dahulu menghadiri sesi taklimat ringkas yang disampaikan oleh Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian, bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Siburan yang menyentuh perkembangan semasa situasi banjir serta langkah-langkah pengurusan yang sedang dilaksanakan.
Usai sesi taklimat itu, beliau meneruskan lawatan ke tiga PPS yang sedang beroperasi, iaitu PPS Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) St Peter Simpok dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru.
Di PPS SK St Peter Simpok, seramai 24 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 55 orang mangsa telah dipindahkan di mana PPS tersebut mulai dibuka pada jam 3 pagi Jumaat berikutan peningkatan paras air yang menjejaskan kawasan kediaman penduduk setempat.
Sementara itu, PPS Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru merekodkan seramai 16 KIR melibatkan 57 orang mangsa yang dipindahkan seawal jam 4 pag dengan jumlah mangsa di PPS ini dilaporkan terus meningkat dan proses pemindahan masih berjalan.
Susulan kapasiti PPS yang telah penuh, Dato Sri Roland Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian untuk membuka satu lagi PPS bagi menampung keperluan mangsa banjir di kawasan tersebut.
Manakala di PPS Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi, perpindahan melibatkan 7 KIR dengan jumlah 28 orang mangsa.
Susulan lawatan berkenaan, beliau menegaskan kepentingan kerjasama erat antara semua agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan bencana berjalan dengan lancar, tersusun dan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara.
Hadir sama, Pegawai Daerah Siburan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Siburan Ranum Bari dan Ketua Polis Daerah Padawan Superitenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi. -EDISI UKAS