BALAI RINGIN: Kelab atau persatuan dalam kawasan ini boleh memohon peruntukan daripada pihak Kementerian Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak sekiranya mahu menganjurkan program berkaitan tradisi dan budaya.
Timbalan Menterinya, Datuk Snowdan Lawan berkata, MTCP telah diberi peruntukan sebanyak sebanyak RM10 juta setahun dan boleh digunakan untuk membantu kelab atau persatuan bagi melaksana program selagi mereka bertindak memohonnya.
"Kelab atau persatuan dapat menerima peruntukan dari RM50,000, RM70,000 dan hingga RM150,000 bergantung kepada jenis program yang mahu dianjurkan oleh mereka di kawasan masing-masing.
"Apa yang perlu kelab atau persatuan lakukan adalah dengan bertindak mengemukakan surat permohonan bantuan peruntukan itu daripada pihak kementerian kami bagi tujuan kelulusan sebelum bermula program terbabit," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal Sempena Kutipan Tabung Kebajikan anjuran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Balai Ringin, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin turut menzahirkan penghormatan kepada para veteran atas pengorbanan dan jasa mereka dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara termasuk Sarawak hingga mewujudkan keamanan yang sehingga kini masih dinikmati oleh golongan generasi muda.
Dalam majlis berkenaan, beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Srikandi PVATM cawangan Balai Ringin, di samping memaklumkan bahawa sebelum majlis ini berlangsung beliau telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan PVATM Cawangan Balai Ringin sebagai tanda sokongan berterusan terhadap usaha memartabatkan kebajikan para veteran.-EDISI UKAS