BALAI RINGIN: Anak-anak yang berpendidikan dan berilmu merupakan aset bernilai kepada keluarga serta masyarakat pada masa hadapan.
Justeru, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berharap ibu bapa terus memainkan peranan untuk memantau prestasi anak masing-masing demi kebaikan bersama.
“Saya menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau prestasi akademik, kelakuan, pergaulan serta aktiviti anak-anak bagi membentuk sahsiah yang seimbang,” katanya demikian ketika Majlis Makan Malam Apresiasi Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Ringin yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Balai Ringin, di sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu juga mengingatkan semua pihak agar bersama-sama menghindari dan membanteras gejala buli di sekolah demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Pada majlis tersebut, Datuk Snowdan Lawan telah diberi penghormatan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada lima orang guru yang telah bersara sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka dalam bidang pendidikan.
Selain itu, beliau turut menyampaikan tiga kategori anugerah kepada empat orang murid cemerlang iaitu Anugerah Ikon Murid kepada seorang penerima, Anugerah Kokurikulum kepada dua orang murid serta Anugerah Sahsiah Terpuji kepada seorang murid.
Dalam kesempatan itu, Datuk Snowdan Lawan turut mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM15,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sumbangan dua set ‘Smart Interactive TV’ bagi kegunaan pembelajaran di SK Balai Ringin. -EDISI UKAS