Lord Tiger Dinobatkan Juara Bola Keranjang Piala Datuk Dr Jerip Susil 2025

Posted on 07 Dec 2025
Source of News: UKAS
Lord Tiger Dinobatkan Juara Bola Keranjang Piala Datuk Dr Jerip Susil 2025
 
SIBURAN: Pasukan Lord Tiger berjaya menjuarai Piala Datuk Dr Jerip Susil 2025 bagi Pertandingan Bola Keranjang ‘Back On Court, Pack To Passion’ kategori amatur selepas menewaskan pasukan Hung Lai Kek dalam perlawanan akhir yang penuh aksi mendebarkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil yang hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur serta memuji komitmen Kelab Bola Keranjang Siburan dalam memajukan sukan bola keranjang di kawasan tersebut.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu, penyerahan pengurusan kepada kelab berkenaan daripada Majlis Daerah Siburan membolehkan fasiliti itu dinaik taraf, diselenggara dan diurus dengan lebih teratur menjadi suatu contoh kerjasama komuniti yang wajar dicontohi.

“Pengurusan gelanggang yang serba baik oleh kelab ini nanti secara langsung akan memberi impak positif kepada pembangunan sukan setempat khususnya bola keranjang,” katanya semasa berucap dalam majlis penyampaian hadiah, pada Sabtu.

Kejohanan tahun ini menyaksikan 26 pasukan berentap bagi merebut trofi edisi 2025, menjadikan pertandingan lebih sengit dan meriah.

Turut hadir, Pegawai Daerah SiburanRanum Bari, Pengerusi Kelab Bola Keranjang Siburan Alvin Lai Dee Yi dan Pengerusi Pengelola Pertandingan Bongok Kee Kai. -EDISI UKAS