SERIAN: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus komited untuk membantu pembangunan gereja dan tempat beribadat lain di luar bandar Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, UNIFOR sentiasa peka dengan permintaan gereja dan rumah ibadat lain dalam usaha mereka untuk menyediakan tempat ibadah yang selesa kepada umatnya.
“Buktinya, hari ini seramai tujuh orang Ketua kampung, pengerusi gereja dan kapitan telah menerima cek cura yang berjumlah RM1.45 juta,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Lanchang Sabai, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, penyerahan cek berkenaan adalah untuk membantu pihak gereja memulakan kerja-kerja menaik taraf gereja mereka.
Dalam perkembangan sama, Dr Simon turut menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukan sejumlah RM150 juta kepada setiap wakil rakyat di kawasan Bidayuh menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
"Ini juga bertujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek permbangunan infrastruktur di luar bandar Sarawak sebelum tahun 2030,” ujarnya lagi.
Susulan itu, beliau berharap segala bentuk dana dan bantuan yang diterima masyarakat dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan bersama.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Serian Kennie Dias Karit, wakil Pegawai Daerah Serian Stella Eve Blitten serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS