BALAI RINGIN: Sejumlah RM1.5 juta telah diluluskan bagi melaksana projek bina baharu blok Kesihatan Kesihatan Balai Ringin.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, berkata peruntukan bagi membina blok baharu di klinik kesihatan berkenaan telah pun disalur oleh Kerajaan Sarawak melalui Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan akan bermula pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin turut mencadangkan untuk membina dua klinik kesihatan yang baharu di bawah konstituensinya untuk menampung keperluan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat.
"Selain itu, saya juga mencadangkan pembinaan sebuah klinik baharu berdekatan dengan Mini Stadium Balai Ringin dengan satu lagi klinik kesihatan turut dicadang untuk dibina di kawasan simpang Punda, Simunjan.
"Cadangan pembinaan klinik baharu ini adalah penting agar kita dapat menampung keperluan perhidmatan perubatan yang lebih baik untuk penduduk dari 96 buah kampung dari Daerah kecil Balai Ringin," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program PETRONAS Memacu Kehidupan Krismas Balai Ringin 2025 dan Penyerahan Keperluan Perubatan Asas Kepada Klinik Kesihatan Balai Ringin di Depo Balai Ringin, pada Jumaat.
Mengulas mengenai program, beliau memuji pelaksanaan program Petronas terbabit kerana ia secara tidak langsung memberi impak yang tinggi dalam kalangan penduduk di sini.
"Kesihatan merupakan aset paling berharga dengan program seperti ini dapat memberi peluang kepada penduduk khususnya dari luar bandar untuk mendapatkan saringan kesihatan serta maklumat yang tepat tanpa kos," katanya.
Beliau pada majlis berkenaan telah menyampaikan cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang mencatat nilai keseluruhan sebanyak RM905,000 kepada empat buah gereja dalam kawasan Balai Ringin.
Penerimanya terdiri daripada Gereja Kecil Saint Alban Ensenbang Pelaie (RM298,000), Gereja Kecil Baptist, Pantu (RM107,000), Gereja Saint Stephen, Pantu (RM300,000) dan Gereja Saint Patrick Kampung Bayor (RM200,000).
Beliau pada majlis berkenaan juga turut menyampaikan sijil perlantikan Ketua Kaum kepada 10 Ketua Kampung dari kawasan DUN Balai Ringin.
Terdahulu, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu memaklumkan bahawa PETRONAS telah menyalurkan bantuan kepada 870 keluarga di Sarawak termasuk di Balai Ringin dan bersama dengan SABATI menyerahkan peralatan perubatan asas kepada Klinik Kesihatan Balai Ringin sebagai sebahagian daripada projek membantu 26 klinik luar bandar melalui peruntukan sebanyak RM1.3 juta.
"Usaha berkenaan secara tidak langsung menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dalam memperkukuh akses kesihatan luar bandar," katanya.
Hadir sama, Ahli Exco SABATI Datin Melinda Claudia Bucking Lawan, Timbalan Pengarah, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Mohamad Nazarudin Bahari, Pegawai Kesihatan Bahagian Serian Dr Majorie Ensayan Junting, wakil Residen Bahagian Serian Mohamad Rashdan Hazemi dan Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Balai Ringin Mohammad Adam Muslim Abdullah. -EDISI UKAS