Anggerik Pickleball Tournament 1.0 Pacu Perkembangan Sukan Komuniti di Serian

Posted on 14 Dec 2025
Source of News: UKAS
Anggerik Pickleball Tournament 1.0 Pacu Perkembangan Sukan Komuniti di Serian
 
SERIAN: Anggerik Pickleball Tournament 1.0 2025 yang berlangsung selama dua hari dari 13 hingga 14 Disember dilihat sebahai pemangkin kepada perkembangan sukan komuniti di daerah Serian, sekali gus memperkenalkan sukan pickleball secara lebih meluas dalam kalangan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, berkata penganjuran kejohanan tersebut amat bermakna kerana ia merupakan pertandingan pickleball pertama yang diadakan di daerah Serian, sekali gus mencatat sejarah tersendiri dalam pembangunan sukan baharu di kawasan itu.

“Penganjuran kejohanan ini amat bermakna kerana ia merupakan pertandingan pickleball pertama yang diadakan di daerah Serian dan menjadi langkah awal dalam memperkenalkan sukan ini kepada masyarakat setempat,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan di sini, pada Ahad.

Beliau turut memaklumkan bahawa gelanggang pickleball di Taman Anggerik Indah merupakan gelanggang pertama seumpamanya diwujudkan di Serian dan dijangka menjadi asas penting serta pemangkin kepada perkembangan dan populariti sukan tersebut di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, John menegaskan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif pembangunan sukan komuniti bagi menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti sihat dan berfaedah.

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa sebuah dewan komuniti untuk kegunaan penduduk Taman Anggerik dan Ayer Manis telah diluluskan di bawah projek Rural Transformation Programme (RTP) bagi kawasan DUN Bukit Semuja dan pembinaannya akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

John turut menyatakan hasrat untuk menjadikan Dewan Baharu di Riih Daso sebagai gelanggang pickleball pada masa hadapan bagi mengembangkan lagi sukan tersebut serta menarik minat lebih ramai penduduk setempat.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukan bagi penganjuran kejohanan pickleball akan datang sebagai sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan dan penglibatan aktif masyarakat di kawasan berkenaan.

Kejohanan julung kali itu dianjurkan oleh Anggerik Pickleball Club (APC) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP) Masjid Nurul Ehsan, Taman Anggerik Indah Serian.

Sebanyak dua kategori telah dipertandingkan iaitu Junior Doubles dan Men’s Doubles, melibatkan penyertaan pemain dari sekitar Serian dan kawasan sekitarnya.

John merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada APC serta JKP Masjid Nurul Ehsan atas inisiatif dan komitmen menganjurkan kejohanan berkenaan, di samping menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memperkasakan aktiviti sukan di peringkat komuniti.-EDISI UKAS