Program Ruang Bicara Ibu Bapa Hebat Fokus Pemahaman AI & Peranan Keluarga

Posted on 15 Nov 2025
Source of News: UKAS
Program Ruang Bicara Ibu Bapa Hebat Fokus Pemahaman AI & Peranan Keluarga
 
 
SERIAN: Program Ruang Bicara Ibu Bapa Hebat anjuran Dayak Bidayuh National Association (DBNA) Cawangan Bung Sadung dengan kerjasama PIBG SMK Taee memberi tumpuan kepada pemahaman asas kecerdasan buatan (AI) serta peranan ibu bapa dalam membimbing penggunaan teknologi secara selamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, pendidikan merupakan pemacu utama kemajuan negara selain menjadi pelaburan paling bernilai dalam membangunkan modal insan berdaya saing.

“Pendidikan ialah pelaburan tiada tandingan. Tanpa pendidikan, individu atau negara akan terus mundur.

“Pendidikan bermula di rumah dan ibu bapa tidak boleh menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada guru,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program berkenaan di SMK Taee, pada Sabtu.

Dr. Simon turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas kejayaan dan perubahan sesebuah bangsa.

Beliau menjelaskan bahawa kemajuan teknologi yang tidak dibimbing dengan baik boleh membawa mudarat, justeru pendidikan memainkan peranan penting dalam memastikan teknologi digunakan untuk tujuan yang membina.

Program berkenaan diadakan bagi meningkatkan pemahaman ibu bapa tentang konsep asas AI serta peranan mereka dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.

Selain itu, ia turut berperanan mengukuhkan kerjasama antara sekolah dan komuniti, selain menyokong pembelajaran murid serta mempertingkat komunikasi ibu bapa dan pihak sekolah.-EDISI UKAS