SERIAN: Seramai 86 penerima, merangkumi 38 organisasi akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan dan persatuan setempat, serta 48 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS menerima manfaat menerusi Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Khas, MRP, SPM dan Insentif Pendidikan Siri Ke-4/2025 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Leort Cottage @ Dibung Pichin, pada Jumaat.
Penyerahan sumbangan berjumlah lebih RM614,600 itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem, sebagai sokongan berterusan kepada pembangunan komuniti serta kecemerlangan pendidikan generasi muda.
Dalam ucapan ringkas beliau, Dato Sri Richard Riot menegaskan bahawa setiap peruntukan yang diberikan perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi mencapai matlamat asal penyaluran bantuan, khususnya dalam memperkukuh gerak kerja organisasi tempatan dan membantu pelajar melangkah ke pendidikan tinggi dengan lebih yakin.
Beliau turut mengingatkan semua penerima untuk mengemukakan laporan penggunaan peruntukan kepada Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Serian sebagai rekod rasmi dan memastikan ketelusan tadbir urus.
Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Tebedu, Angela Thomas serta wakil Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Serian Bahagian Serian, Dayang Nurul Hidayah.-EDISI UKAS