
BALAI RINGIN: Kerja-kerja pembinaan cadangan Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II (Peringkat I dan II ) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin kini sedang berjalan dengan lancar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan ketika dihubungi berkata, laporan terkini daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menunjukkan peringkat I sudah mendahului sebanyak 18 peratus daripada jadual manakala peringkat II pula adalah dua peratus.
Jelasnya, pelaksanaan projek yang terdiri daripada peringkat I dan II itu telah menelan kos keseluruhan sebanyak RM260 juta dengan setiap peringkatnya masing-masing menelan kos sebanyak RM130 juta.
"Kedua-dua peringkat projek ini dijalankan secara serentak dan dilaksanakan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan JBALB bertindak sebagai agensi pelaksananya," katanya.
Setakat ini katanya, kerja pembinaan struktur, pemasangan paip ke rumah pam serta rumah penjana yang berkaitan, lintasan sungai, cerucuk telaga dan kerja penyambungan di Loji Rawatan Air Slabi sedang berjalan lancar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin memberitahu, bekalan air bagi kawasan projek berkenaan akan disalurkan dari Loji Rawatan Air (LRA) Slabi yang terletak di Serian.
"Kerja-pengagihan dan retikulasi ke penempatan penduduk sedang dijalankan dengan lebih 90 buah kampung di daerah kecil Balai Ringin termasuk 20 buah sekolah, pejabat, tempat ibadat dan premis perniagaan akan mendapat manfaat daripada projek ini nanti," katanya.
Tambahnya lagi, kedua-dua peringkat projek bekalan berkenaan telah pun bermula pada Oktober 2024 dan dijadualkan siap dalam tempoh masa 30 bulan iaitu menjelang April 2027.
Bagi mengurangkan penggunaan semasa dan peningkatan permintaan masa hadapan, sebuah Tangki Aras Tinggi (HLT) dengan kapasiti sebanyak tiga juta liter air sehari (MLD) juga sedang dibina berhampiran dengan simpang jalan masuk ke Melikin, katanya.
"Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 825 isi rumah. Malah, sebuah takungan air dengan kapasiti 1.8 MLD juga sedang dibina di Sabal dan bakal memberi manfaat kepada 900 isi rumah.
"Jika anda melalui Lebuhraya Pan Borneo dari Serian menuju Sri Aman, anda akan mendapati bahawa pemasangan paip sedang dijalankan," katanya.
Justeru, beliau merayu kepada penduduk DUN Balai Ringin agar memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada agensi pelaksana dan kontraktor bagi memastikan kelancaran penyampaian projek bekalan air terawat ini demi kebaikan mereka. -EDISI UKAS