SERIAN: Sebanyak tujuh buah sekolah mubaligh di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup menerima cek daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM966,000.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, berkata penyerahan dana ini adalah sebahagian usaha berterusan Kerajaan Sarawak memastikan kemudahan pendidikan khususnya sekolah-sekolah mubaligh sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Antara sekolah yang menerima peruntukan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) St Anthony Kawan (RM93,000), SK St Michael Mongkos (RM154,000), SK St Jude Bunan (RM154,000), SK St Raymond Mujat (RM155,000), SK St Philip Bugu (RM135,000), SK St John Mentung (RM120,000) dan SK St Norbert Paon Gahat (RM55,000).
“Dana yang disalurkan ini adalah khusus bagi kerja-kerja baik pulih serta menaik taraf bangunan sekolah, dan bukan untuk penganjuran aktiviti sekolah dan saya berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pelajar dan guru terjamin,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan cek berkenaan, di sini, pada Khamis.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu lagi, Kerajaan Sarawak akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan sekolah-sekolah mubaligh demi memastikan standard pendidikan di negeri ini sentiasa berada pada tahap terbaik. -EDISI UKAS