SK Kujang Mawang Akan Beroperasi Januari 2026, Bukti Komitmen Kerajaan Perkasa Pendidikan Luar Bandar

Disiarkan pada 11 Dec 2025
Sumber Berita: UKAS
SK Kujang Mawang

TEBEDU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kujang Mawang bakal memulakan sesi pembelajaran rasmi pada 12 Januari 2026, sekali gus menandakan kejayaan sebuah cetusan idea oleh mantan Menteri Pendidikan Sarawak yang akhirnya direalisasikan melalui usaha bersepadu kerajaan dan komuniti setempat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Omar Mahli menegaskan bahawa pembinaan sekolah baharu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan di bawah peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf sekolah daif di luar bandar Sarawak.

“SK Kujang Mawang dipilih sebagai projek strategik memandangkan lokasinya yang jauh dari pusat bandar serta statusnya sebagai sekolah rendah berasrama penuh,” katanya semasa berucap dalam majlis pembukaan sekolah berkenaan, di sini, pada Rabu.

Beliau menjelaskan bahawa objektif utama pembinaan ini adalah untuk menjadikan SK Kujang Mawang sebagai Sekolah Kluster dan pusat pengumpulan murid dari beberapa sekolah kurang murid (SKM) di sekitarnya, iaitu SK Kujang Sain, SK Daha dan SK Tesu.

Tambah Omar, pembinaan sekolah ini mencerminkan komitmen jitu kerajaan serta JPNS dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi, khususnya di kawasan pedalaman.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Serian Bunsie Tunton. -EDISI UKAS