Serian, Tebedu & Siburan Mampu Jadi Pemacu Sektor Agromakanan Sarawak

Posted on 06 Dec 2025
Source of News: UKAS
Serian, Tebedu & Siburan Mampu Jadi Pemacu Sektor Agromakanan Sarawak
 
SERIAN: Bahagian Serian memiliki potensi besar untuk muncul sebagai pemacu utama sektor agromakanan Sarawak, sekali gus menyumbang kepada agenda keselamatan makanan dan aspirasi Sarawak menjadi pengeksport makanan utama menjelang 2030.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben berkata, kelebihan geografi, infrastruktur logistik dan prestasi pengeluaran sedia ada menjadikan Serian, Tebedu dan Siburan berada pada landasan tepat untuk berkembang sebagai hab pertanian serta penternakan berimpak tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup itu menjelaskan, perkembangan pesat sektor agromakanan di Serian dan Tebedu selari dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, khususnya dalam meningkatkan pendapatan rakyat, memperkukuh keselamatan makanan dan mewujudkan Sarawak sebagai pengeksport berskala besar.

“Serian ini bukan saja sebagai hub pertanian kerana tanahnya subur, tetapi dari segi eksport, pelabuhan hanya satu jam setengah dari Tebedu. Lapangan terbang pun dalam jarak sama untuk kawasan paling jauh,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Pra-Krismas Pentadbiran Bahagian Serian: Christmas At Border 2025
yang turut dihadiri ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Pegawai Daerah Tebedu merangkap Pengerusi Pengelola Majlis, Gerard George Entigar, Pengerusi Majlis Daerah Serian, Dato Peter Minos, Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari serta Timbalan Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Ts. John Aten.

Dalam pada itu, Datuk Martin turut memaklumkan bahawa Bahagian Serian kini mencatat pencapaian membanggakan dalam industri penternakan apabila berjaya mengeksport babi hidup ke Singapura dan Selangor.

“Sekarang eksport daging babi hidup kita telah melebihi RM100 juta. Ini hasil keupayaan pemain industri kita. Lebih banyak ladang baharu akan mengeluarkan hasil untuk pasaran Semenanjung, Brunei dan mungkin Kalimantan,” jelasnya.-EDISI UKAS