Program Amanita Perkukuh Peranan Wanita Dalam Keselamatan Komuniti

Posted on 20 Nov 2025
Source of News: UKAS
Program Amanita
 
SERIAN: Peranan wanita sebagai rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperkukuh apabila Kampung Pichin diangkat sebagai Taman Angkat Amanita Daerah Serian, sekali gus mengiktiraf penglibatan aktif kaum wanita dalam keselamatan komuniti.

Timbalan Kommisioner Polis, Dato' Aida Abdul Hamid berkata, kaum wanita merupakan tulang belakang kepada usaha pencegahan jenayah di peringkat komuniti termasuk kawasan kejiranan, terutama melalui program Amanita atau 'Peace Lady' yang digerakkan sejak Oktober 2021.

“Rekod PDRM menunjukkan 70 peratus golongan wanita di Malaysia adalah suri rumah. Ini menjadikan mereka rakan kongsi Polis atau dikenali sebagai 'Engage Housewives in neighborhood safety', yang paling sesuai untuk membantu polis mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah di kawasan kejiranan.

"Difahamkan juga, Kampung Pichin merupakan sebuah kampung yang terbesar di Daerah Serian, mempunyai 360 buah rumah dan kepadatan penduduk dalam 3000 orang,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Taman Angkatan Amanita (Ibu pejabat Kontigen Sarawak), di Away Gawai Tun Abdul Razak Kampung Pichin, di sini pada Khamis.

Turit hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada.

Dalam ucapan sama, Dato' Aida turut memuji komitmen wanita di Kampung Pichin yang aktif dalam penganjuran program komuniti dan sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak polis.

Faktor itu katanya, menjadi asas utama kampung tersebut terpilih sebagai Taman Angkat Amanita.

Menjelas lanjut, Dato' Aida memberitahu, program Amanita bukan sahaja memberi pendedahan mengenai keselamatan diri dan keluarga, malah meningkatkan kesedaran terhadap isu jenayah rumah tangga serta ancaman keselamatan di sekitar kejiranan.

Pengiktirafan ini dijangka memperkukuh jaringan keselamatan komuniti serta memperluas peranan wanita sebagai ejen perubahan dalam usaha pencegahan jenayah di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS