
SERIAN: Sambutan Hari Kanak-Kanak disifatkan sebagai platform penting untuk mengiktiraf peranan generasi muda sebagai aset masa depan negara, sekali gus mengingatkan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam membentuk mereka ke arah masa depan yang lebih cerah.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben berkata, kepentingan kesedaran ibu bapa dalam memantau tingkah laku anak-anak, khususnya dengan peningkatan isu sosial dalam era serba moden dan dunia tanpa sempadan.
"Tanggungjawab ibu bapa amat besar biarpun sibuk, kita perlu sentiasa peka terhadap pergerakan, pergaulan dan perkembangan anak-anak.
"Ia penting untuk memastikan mereka membesar sebagai insan yang baik serta berguna kepada agama, bangsa dan negara,” tambah beliau," katanya ketika Sambutan Hari Kanak-Kanak Bahagian Serian 2025 di SK Krangan pada Sabtu.
Pelbagai acara menarik diadakan bagi memeriahkan sambutan, termasuk aktiviti senam sihat, Pertandingan Menganyam Ketupat, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, permainan dalaman melalui booth permainan, serta sukaneka yang melibatkan penyertaan aktif kanak-kanak dan komuniti sekitar.
Datuk Martin menambah, sambutan ini bukan sahaja bertujuan meraikan Hari Kanak-Kanak dengan aktiviti fizikal yang sihat dan menyeronokkan tetapi juga sebagai platform mempromosikan gaya hidup aktif dalam kalangan kanak-kanak dan komuniti. -EDISI UKAS