
SERIAN: Penubuhan Kompleks Pentadbiran Persekutuan yang tersendiri di Serian disifatkan penting bagi melengkapkan fungsi bahagian tersebut memandangkan sebahagian jabatan Persekutuan masih beroperasi secara sewaan sejak Serian diangkat menjadi sebuah bahagian pada tahun 2015.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, berkata keadaan itu wajar diberi perhatian kerana sebuah bahagian lazimnya memiliki kompleks pentadbiran Persekutuan bagi memudahkan penyelarasan perkhidmatan kerajaan di peringkat setempat.
Menurutnya, meskipun sudah 10 tahun Serian diangkat menjadi bahagian, namun kini terdapat jabatan Persekutuan yang beroperasi secara sewaan atau menumpang.
“Saya berpandangan sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembinaan kompleks mereka sendiri di Serian.
“Sebuah kompleks khusus akan mengumpulkan jabatan Persekutuan di satu lokasi sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memohon agar pihak berkenaan menilai semula agar kebenaran dan kelulusan untuk menggunakan Serian Conference Centre (SCC) bersesuaian dengan faktor tempatan, budaya tempatan dan amalan tempatan
Katanya, SCC merupakan salah satu mercu tanda di Bahagian Serian yang terletak bersebelahan dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri, siap dibina dalam tahun 2023 dengan kos sebanyak RM87 juta.
"Maka dengan itu, adalah dipohon agar pihak yang berkenaan untuk menilai semula agar kebenaran dan kelulusan untuk menggunakannya bersesuaian dengan faktor tempatan, budaya tempatan dan amalan tempatan, jangan terlalu ‘rigid’," katanya. -EDISI UKAS