SIBURAN: Karnival Siburan 2025 bukan sahaja mengukuhkan hubungan komuniti, malah memberi manfaat ekonomi dengan membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph, berkata inisiatif ini merancakkan industri mikro, memperluas jaringan keusahawanan, dan menyokong perkembangan ekonomi setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jabatan, agensi, dan individu yang menyumbang kepada kejayaan karnival.
“Terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Pejabat Daerah Siburan sebagai penganjur utama, Eastern Mall Siburan sebagai tuan rumah, Bidayuh Artistes And Musicians Association Sarawak (BAMA) selaku penganjur Siburan Idol, Ketua Penganjur Miss Siburan 2025 Phillip Jabu, serta semua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum yang terlibat.
“Sokongan semua pihak inilah yang menjayakan Karnival Siburan 2025,” katanya semasa majlis penangguhan karnival tersebut yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, di perkarangan Eastern Mall, Siburan pada Sabtu.
Caroline turut menghargai sokongan kewangan daripada pemimpin masyarakat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap ADUN Mambong Datuk Dr. Jerip Susil dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin yang memastikan aktiviti sosial, ekonomi, dan pembangunan komuniti dijalankan lebih efisien dan berimpak tinggi.
Antara acara utama karnival berkenaan ialah Pertandingan Akhir Siburan Idol 2025, yang menampilkan 10 finalis belia tempatan, mengetengahkan bakat seni suara dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berkarya.
Malam penutupan pula diserikan dengan Pertandingan Akhir Miss Siburan 2025, melibatkan 11 finalis yang mempamerkan kepimpinan, personaliti, dan bakat mereka, serta persembahan artis jemputan Rickie Andrewson dan Lucy M.
Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk gerai jualan produk dan hasil pertanian oleh usahawan mikro, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kemahiran dan demonstrasi pastri oleh GiatMARA, jualan makanan dan minuman tempatan, serta demonstrasi pembuatan kuih talam oleh Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Puncak Borneo.
Turut hadir semasa majlis penangguhan ialah Pegawai Daerah Siburan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Karnival Siburan 2025 Ranum Bari, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Damen Rejek dan Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Mall Siburan Roland Phang.-EDISI UKAS