108 Pemimpin Akar Umbi Daerah Siburan Sertai Bengkel Pemantapan KMKK & JKKK

Disiarkan pada 14 Nov 2025
Sumber Berita: UKAS
108 Pemimpin Akar Umbi Daerah Siburan Sertai Bengkel Pemantapan KMKK & JKKK
 
SERIAN: Seramai 108 pemimpin akar umbi terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah Pentadbiran Daerah Siburan menghadiri Program Bengkel Pemantapan KMKK dan JKKK Daerah Siburan di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, pada Jumaat.

Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap ADUN Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang dalam ucapannya menekankan keperluan memperkukuh keupayaan kepimpinan di peringkat komuniti agar seiring dengan aspirasi pembangunan negeri.

Bengkel sehari itu memberi tumpuan kepada aspek penting seperti dasar dan tadbir urus KMKK, peranan serta tanggungjawab JKKK, selain penekanan terhadap pemeliharaan adat dan warisan budaya etnik Bidayuh dan Iban.

Melalui sesi-sesi ceramah tersebut, para peserta diperkasakan dengan kefahaman lebih mendalam mengenai tugas mereka sebagai penjaga adat serta pemimpin yang bertanggungjawab memastikan keharmonian dan identiti budaya kampung terus terpelihara.

Pejabat Daerah Siburan turut membimbing peserta dalam aspek pengurusan mesyuarat dan penyediaan minit yang betul bagi meningkatkan ketelusan, dokumentasi rasmi serta komunikasi antara komuniti dan agensi kerajaan.

Program ini secara keseluruhannya dirangka sebagai platform untuk memantapkan peranan KMKK dan JKKK dalam pentadbiran kampung selain meningkatkan kemahiran pengurusan, penyelarasan projek pembangunan dan kemampuan menyelesaikan masalah di peringkat komuniti.

Peserta turut didedahkan kepada dasar dan aspirasi Kerajaan Sarawak agar hala tuju pembangunan kampung dapat diselaraskan dengan agenda kerajaan semasa.

Melalui sesi bimbingan dan perkongsian pengalaman, bengkel ini diharap dapat melahirkan pemimpin akar umbi yang lebih bersedia menghadapi cabaran, memperkukuh jaringan kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan, serta melaksanakan tanggungjawab secara lebih berkesan, cekap dan berintegriti.-EDISI UKAS