MARA Perkasa Wanita Sarawak Sebagai Pemangkin Ekonomi Malaysia Madani

Posted on 03 Nov 2025
Source of News: UKAS
MARA Perkasa Wanita Sarawak Sebagai Pemangkin Ekonomi Malaysia Madani
 
SERIAN: Seramai 250 peserta telah menyertai Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani 2025.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Majlis MARA, Siti Hajar Yasin, yang turut menyampaikan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan kepada usahawan serta pelajar di sini pada Sabtu.

Dalam ucapannya, Siti Hajar menegaskan bahawa MARA komited memperkukuh peranan wanita sebagai peneraju ekonomi dan pembangunan komuniti, selaras dengan semangat Malaysia Madani.

“Pada tahun 2025, MARA telah memperuntukkan sebanyak RM33 juta kepada usahawan Sarawak, dengan mensasarkan seramai 1,156 usahawan untuk menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif seperti pembiayaan perniagaan, latihan dan geran padanan keusahawanan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa skim khas DANAnita dengan peruntukan sebanyak RM1.045 juta khusus untuk negeri Sarawak telah memberi manfaat kepada 29 usahawan wanita setakat Julai 2025.

Antara kemuncak majlis ialah penyampaian Surat Tawaran Kemudahan Pembiayaan Perniagaan MARA kepada lima orang usahawan serta Surat Tawaran Geran MARA (ADAPT) kepada seorang usahawan terpilih.

Selain itu, 50 pelajar turut menerima sumbangan bantuan persekolahan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM), manakala 20 orang asnaf menerima bantuan tunai daripada Rural Capital Berhad (RCB).

Program anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan MARA ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah nasional di 53 Parlimen terpilih seluruh negara yang bertujuan memperkasa wanita melalui pendidikan berterusan, pendedahan teknologi moden dan latihan pemasaran digital.

Penganjuran ini mencerminkan usaha berterusan MARA dalam melahirkan wanita Sarawak yang berdaya tahan, inovatif dan berdikari, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membina masyarakat inklusif, progresif dan berdaya saing.-EDISI UKAS