KUCHING: Semangat kesukanan dan ukhuwah jelas terserlah apabila Pejabat Pentadbiran Bahagian Serian dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berentap dalam Perlawanan Persahabatan Pickleball di Picklepro Kuching, baru-baru ini.
Lebih daripada sekadar aktiviti riadah, perlawanan ini menjadi platform memperkukuh hubungan kerja rentas jabatan, di samping menyemai budaya kerja berpasukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam.
Melibatkan tiga kategori, Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran, perlawanan yang berlangsung selama dua jam itu menyaksikan aksi penuh semangat daripada kedua-dua pasukan yang bermain dalam suasana mesra dan harmoni.
Menurut Pengurus Pasukan Pickleball Pejabat Pentadbiran Bahagian Serian, Johnboy Riyah, aktiviti seumpama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara agensi, malah mencerminkan komitmen warga awam untuk mengekalkan semangat kekitaan di luar rutin kerja harian.
“Walaupun bersifat persahabatan, semangat juang dan kerjasama pasukan jelas terpancar di setiap perlawanan. Lebih penting, aktiviti sebegini membantu kita mengenali rakan-rakan dari jabatan lain dalam suasana santai dan positif,” katanya.
Sorakan penyokong dari kedua-dua agensi turut menghidupkan suasana, menjadikan perlawanan bukan sahaja medan mencabar kemahiran, tetapi juga lambang kesepaduan dan solidariti perkhidmatan awam Sarawak.
Acara diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan serta simbol keakraban antara dua agensi.
Penganjuran ini sekaligus memperlihatkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh perpaduan, kolaborasi dan semangat kekitaan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.-EDISI UKAS