SERIAN: Sebanyak lapan cek sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bernilai keseluruhan RM110,000 diserahkan melibatkan tiga kampung di daerah ini — Kampung Plaman Payang, Kampung Tanah Puteh dan Kampung Sebemban.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sempena Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN Bahagian Serian dan Kuching di Pusat Persidangan Serian, hari ini.
Selain itu, dua lagi kampung — Kampung Prutan (Serian) dan Kampung Endap (Samarahan) — dijadual menerima bantuan CSR tersebut dalam masa terdekat.
Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, program CSR Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak adalah inisiatif kerajaan bersama pemegang lesen mineral bagi membantu masyarakat yang terkesan secara langsung daripada aktiviti pengkuarian atau perlombongan.
“Tujuan utama program ini ialah untuk mendekatkan kerajaan dan pengusaha dengan masyarakat, memberi pengetahuan tentang peraturan industri serta membolehkan masyarakat menjadi mata dan telinga kerajaan.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan masyarakat yang terkesan turut menerima manfaat secara adil,” katanya.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Serian, Abdul Khalil Amit, berkata syarikat yang menyalurkan dana CSR tersebut ialah Syarikat Pendu Kuari (Serian) Sdn Bhd dan Magna Focus Sdn Bhd.
“Semoga sumbangan ini dapat digunakan dengan baik dan berhemah bagi tujuan pembangunan kampung, sekolah serta rumah ibadat yang terpilih,” katanya.