SERIAN, 22 Okt: Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa sebarang pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya berpandukan undang-undang serta disertai pampasan yang adil kepada pemilik terlibat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata setiap pengambilan tanah oleh kerajaan negeri dilaksanakan mengikut peruntukan Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin pampasan sewajarnya kepada pihak berkepentingan.
“Kita tidak dapat lari daripada mengambil tanah bagi tujuan pembangunan. Namun, ia tidak dilakukan secara percuma.
“Segala tindakan dibuat berpandukan Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin pampasan mencukupi kepada pemilik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi Bahagian Serian dan Kuching di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan projek infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan jambatan sememangnya memerlukan tanah. Namun kerajaan memastikan setiap proses pengambilan dilakukan secara adil dan melalui rundingan bersama pemilik sebelum tindakan diambil.
Awang Tengah menegaskan, kerajaan sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan penduduk serta pihak berkepentingan sebelum kerja pengukuran dan pengambilan tanah dilaksanakan bagi mengelakkan kekeliruan dan dakwaan tidak berasas bahawa kerajaan merampas tanah rakyat.
Beliau memaklumkan bahawa pampasan berjumlah lebih RM9.8 juta telah disalurkan kepada penduduk terlibat dalam pelbagai projek pembangunan di kawasan berkenaan, termasuk pembinaan pencawang dan pemasangan kabel elektrik, bagi meningkatkan kemudahan asas di luar bandar.
Selain itu, beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk mempercepatkan proses pengukuran tanah inisiatif baharu serta kampung tradisional di seluruh negeri supaya hak milik tanah dapat disahkan secara sah di sisi undang-undang.
“Sejak tahun 2010 hingga September 2025, lebih 1.2 juta hektar tanah berjaya disukat di bawah pelbagai skim pengukuran tanah di seluruh Sarawak,” katanya. – TVS