SERIAN, 20 Okt: Keunikan gastronomi Sarawak bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancongan, malah mencerminkan kepelbagaian budaya, gaya hidup serta keindahan perpaduan rakyat negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelancongan berasaskan gastronomi mempunyai potensi besar untuk mengangkat Sarawak ke pentas antarabangsa melalui pendekatan yang kreatif dan berbudaya.
“Malam ini, ketika chef bertaraf dunia mempersembahkan hasil masakan mereka, kita diingatkan tentang anugerah Sarawak kepada dunia iaitu kepelbagaian tanpa batas dalam rasa, budaya dan cerita.
“Malam ini juga, tetamu kita bukan sekadar menjamu selera; mereka turut merasai pengalaman sebenar yang menjadikan Sarawak terkenal. Inilah kekuatan gastronomi, ia menyatukan manusia, merentasi sempadan dan menceritakan kisah siapa diri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Magnificent Sarawak: Gastronomy Adventures di Ironwood Valley Farm, Serian, malam Ahad.
Abdul Karim turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan, termasuk para chef, pempengaruh dan delegasi dari China, sambil menegaskan bahawa hubungan erat antara kedua-dua wilayah akan terus diperkukuh menerusi bidang pelancongan dan budaya.
Program itu menampilkan majlis makan malam eksklusif bertemakan Tok Panjang Sarawak, yang menyaksikan empat chef antarabangsa iaitu Chef Tam Kwok Fung, Chef Xu Jingye, Chef Eduardo Vargas dan Chef Addison Liew yang menyajikan pelbagai hidangan istimewa menggunakan bahan tempatan yang diperoleh sepanjang lapan hari menjelajah bumi Sarawak.
Antara bahan utama yang digunakan ialah ikan empurau, lada hitam Sarawak dan gula apong, yang digabungkan secara kreatif bagi memperlihatkan kekayaan hasil bumi negeri ini kepada dunia.