SERIAN, 20 Okt: Penganjuran program Magnificent Sarawak: Gastronomy Adventures, dilihat satu kejayaan besar dalam mengangkat imej Sarawak ke persada dunia melalui diplomasi gastronomi dan kolaborasi antarabangsa.
Pengerusi penganjurnya Jamie Kho, berkata projek berkenaan dimulakan sebagai ekspedisi kulinari oleh sekumpulan chef namun kini berkembang menjadi projek media pelancongan berskala global oleh Mulu Group yang turut menampilkan empat chef terkenal dunia iaitu dari Hong Kong, China, Peru dan Malaysia sendiri.
Menurutnya, kejayaan penganjuran ini tidak hanya mempromosikan masakan dan hasil bumi Sarawak, tetapi juga memberi peluang kepada pelancong serta penggiat industri luar untuk merasai sendiri keunikan budaya dan keramahan rakyat negeri ini.
“Daripada satu ekspedisi kulinari antara rakan-rakan chef, projek ini kini berkembang menjadi sebuah projek publisiti media pelbagai dimensi untuk Sarawak, terutama apabila Youku (platform penstriman atas talian) turut serta dan menerbitkannya sebagai dokumentari enam episod,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Magnificent Sarawak: Gastronomy Adventures di sini pada malam Ahad.
Jamie turut mengumumkan bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada Festival Pempengaruh Antarabangsa tahun hadapan yang akan diketuai oleh pempengaruh pelancongan terkenal, Sabina Makarova yang terkenal dalam platform talian Douyin dan Xiaohongshu, sekali gus menjadikan Sarawak tumpuan global bagi promosi pelancongan dan gastronomi.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan termasuk Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Lembaga Pelancongan Sarawak, Royal Brunei Airlines, Malaysia Pepper Board dan pemilik Ironwood Valley Farm yang menjadi lokasi utama majlis makan malam eksklusif dengan tema “Tok Panjang Sarawak”.
Katanya, Mulu Group akan meneruskan kesinambungan projek Magnificent Sarawak pada tahun 2026 dengan menjelajah ke Bario, Mulu, Kapit dan Interloop, bagi memperkukuh promosi pelancongan berasaskan perdagangan, restoran dan acara media-TVS