SERIAN: Penganjuran julung kali Serian Cycling Challenge 1.0 Road Race berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada peserta tempatan malah turut menarik penyertaan dari luar negara termasuk Kanada, Indonesia dan Brunei.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program berkenaan berjaya menghimpunkan 87 orang peserta bagi acara berbasikal merangkumi empat kategori utama iaitu Lelaki Terbuka, Lelaki Veteran, Lelaki Master dan Wanita Terbuka.
“Ini menunjukkan bahawa penyertaan kali ini sungguh menggalakkan dan tentu sekali ini memberi semangat kepada Pejabat Residen dan Persatuan Berbasikal Samarahan.
“Para peserta juga hadir dari pelbagai tempat termasuk sejauh Kanada, Indonesia, Brunei, serta dari seluruh bahagian di Sarawak,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penangguhan program tersebut yang berlangsung pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu turut menzahirkan harapan agar program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang dengan sokongan lebih kukuh daripada pelbagai pihak.
Perlumbaan yang melibatkan jarak sepanjang 102KM ini menyaksikan bagi Kategori Lelaki Terbuka, tempat pertama dimenangi oleh Laurel Lauridsen Adrian dari pasukan Ghost Speed Racing Team, diikuti Azrul Aiman (Team Buceros) di tempat kedua, dan Ong Zhi Jia (Team Buceros) di tempat ketiga.
Manakala, bagi Kategori Lelaki Veteran menyaksikan kemenangan Mohd Nor Umardi Rosdi (Tugau Vaie Cycling Team) sebagai juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Rakhmadhani (SOSNJ) dan Kim Thai Chai(Masterpiece).
Sementara itu, bagi Kategori Lelaki Master, tempat pertama dimenangi oleh Zulkifli Ramli (Team GRBCC), diikuti Silas Michael(Giant Racing Team) di tempat kedua dan Masri Gidi (Team SOSNJ) di tempat ketiga.
Dalam Kategori Wanita Terbuka pula, Nurfaraain Nabiela Abdullah Hafiz dari pasukan Tugau Vaie Cycling Team muncul juara, manakala tempat kedua dimenangi oleh Lin Wei Na dari Giant Racing Team.
Laurel Lauridsen Adrian turut cemerlang apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori SCC Sprint dan SCC King of Mountain (KOM), sekaligus melakar pencapaian berganda dalam kejohanan ini.
Penganjuran Serian Cycling Challenge 1.0 ini turut dijalankan serentak dengan program Sarawak X-Tive yang menyerikan lagi suasana dengan aktiviti senaman Aerobik, melibatkan semua pengunjung yang hadir sebaik sahaja perlumbaan berbasikal dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, Pertandingan Aerobathon bertemakan Kontemporari Pakaian Sukan turut diadakan dengan penyertaan 10 kumpulan, menjadikan ia pertandingan pertama seumpamanya dianjurkan di Serian.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Presiden Persatuan Berbasikal Samarahan Abang Sudirman Abang Indi, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Mazuki, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami dan Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari.-EDISI UKAS