ADTEC Serian Meterai Lima Kerjasama Strategik Perkukuh Ekosistem TVET

Posted on 16 Oct 2025
Source of News: UKAS
ADTEC Serian
 
 
SERIAN: ADTEC JTM Kampus Serian telah memeterai lima kerjasama strategik dalam usaha mempekukuhkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada penuntutnya.
Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem berkata, meskipun ADTEC JTM belum berusia setahun namun usaha institut berkenaan menjalinkan kerjasama strategik ini membolehkan anak-anak muda sekitar Serian menceburi bidang TVET seperti mana yang dituntut oleh Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama ADTEC JTM Serian, di sini, pada Khamis.
Majlis berkenaan menyaksikan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADTEC JTM Kampus Serian dan PDC Design Sdn Bhd, sebuah syarikat arkitek terkenal di Sarawak.
Selain itu, turut berlangsung pertukaran tiga memorandum kerjasama (MoC) yang melibatkan syarikat-syarikat terkemuka di Sarawak iaitu SCIB Manufacturing Sdn Bhd, One Medicare Sdn Bhd dan GS-TECH Engineering Sdn Bhd.
Dalam masa yang sama, majlis turut menyaksikan penyampaian Surat Niat (LoI) bersama empat institusi pendidikan dan sebuah syarikat minyak milik kerajaan Sarawak, iaitu Politeknik Negeri Pontianak (Indonesia), Kolej Universiti I-CATS, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak serta Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Pengarah ADTEC JTM Kampus Serian, Ts Azmi Pelah dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik yang dijalinkan pada hari tersebut merupakan langkah penting ke arah memperkukuh hubungan dengan industri dan membina ekosistem TVET yang lebih dinamik serta mampan.
Menurut beliau, hubungan erat antara institusi latihan dan pemain industri akan menjadi pemangkin kepada pembangunan TVET, merangkumi aspek latihan industri, pemindahan teknologi serta peluang kerjaya yang lebih luas untuk pelajar.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Rospiagos Taha. -EDISI UKAS