Jelajah Astronomi 2025 Buka Minda Generasi Muda ke Arah Masyarakat Celik Sains

Posted on 13 Oct 2025
Source of News: UKAS
Jelajah Astronomi 2025- Serian
 
SERIAN: Program Jelajah Astronomi 2025 berjaya membuka ruang pembelajaran baharu kepada masyarakat, khususnya golongan muda dalam meneroka bidang astronomi dan sains angkasa secara interaktif dan menyeronokkan.

Menteri Pendidikan, Inovasi & Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran Jelajah Astronomi 2025 merupakan langkah strategik dalam usaha merakyatkan sains dan memperkukuh pendidikan STEM di negeri ini.

“Apa yang menjadikan Jelajah Astronomi unik ialah pendekatannya yang kreatif dan inklusif.

“Ini adalah program pertama di Sarawak di mana pelawat boleh belajar tentang matahari, planet dan objek cakerawala dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif, melalui pengalaman gaya berkelah “santai”, sambil menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti Planetarium Mini, Realiti Maya Planet (VR), Sesi Pemerhatian, bengkel Roket DIY dan banyak lagi.

“Aktiviti pembelajaran interaktif dan pengalaman sedemikian adalah penting dalam memupuk rasa ingin tahu dan membina minat yang kuat dalam sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) di kalangan pelajar dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian penutupan Program Jelajah Asttonomi 2025 di Serian Conference Centre (SCC) pada Isnin.

Dato Sri Roland Sagah memberitahu, program yang bermula pada 9 Oktober 2025 di CENTEXS Lundu dan melabuhkan tirai pada 13 Oktober 2025 di SCC telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,000 pengunjung melibatkan lebih 15 sekolah dari seluruh Sarawak.

Katanya, sambutan luar biasa terhadap program ini menunjukkan minat dan rasa ingin tahu yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar serta masyarakat umum terhadap bidang astronomi dan sains angkasa.

Tambah beliau, Jelajah Astronomi juga selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pembentukan masyarakat berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Turut hadir ialah Pengarah Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor, Wakil Residen Bahagian Serian Rashdan Hazemi, dan Pegawai Pendidikan Daerah Serian Bunsie Tunton.-EDISI UKAS