Sejarah
1) Daerah Serian
Serian adalah merupakan pusat bandar bagi Daerah Serian. Daerah Serian pula merupakan salah sebuah daerah di bawah pentadbiran Bahagian Samarahan sejak tahun 1987. Sebelum di letak di bawah pentadbiran Bahagian Samarahan, Serian dahulunya dikenali dengan nama 'Upper Sadong' di bawah pentadbiran Bahagian Pertama iaitu Kuching pada tahun 1901.
Daerah Serian mempunyai keluasan seluas 1,762.4 kilometer persegi yang merangkumi daerah kecil Tebedu. Daerah Kecil Tebedu merupakan pintu masuk bagi sempadan Kalimantan Barat Indonesia. Menurut laporan Profil Bahagian Samarahan 2007, daerah Serian mempunyai jumlah penduduk seramai 92,200 orang yang majoritinya adalah kaum Bidayuh dan diikuti oleh kaum Iban, Melayu, Cina dan lain-lain.
Daerah Serian terkenal dengan kawasan yang kaya dengan hasil pertanian. Ini kerana hasil pendapatan utama penduduk pedalaman di daerah ini adalah hasil pertanian seperti padi, kelapa sawit, koko, lada hitam, getah, buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain pertanian, penduduk kawasan daerah Serian juga terlibat dalam aktiviti menternak babi, lembu, ayam, ikan dan kambing selain bekerja sebagai penangkap ikan di sungai. Penduduk daerah Serian juga tidak terkecuali terlibat dengan aktiviti-aktiviti perniagaaan dan perdagangan. Selari dengan misi kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang aktif dan progresif dalam aktiviti perniagaan dan perdagangan, disamping terlibat aktif dalam pertanian dan perindustrian.
Penghubung utama bagi penduduk daerah ini untuk ke sesuatu tempat pada masa dahulu adalah sungai. Selepas beberapa tahun, kemudahan jalan raya berturap mula di bina bagi memudahkan penduduk untuk bergerak ke sesuatu tempat atau kawasan. Setelah itu, Daerah Serian mula berkembang dan menerima banyak kemudahan seperti bekalan elektrik, bekalan air, Klinik Kesihatan, Hospital, Bank, sekolah dan kemudahan lain.
Selain itu, Serian juga mempunyai keindahan dan keistimewaan yang tersendiri. Dengan keindahan kawasan rekreasi iaitu Air Terjun Ranchan dan Tasik Danu pastinya mampu menarik orang ramai untuk berkunjung ke Serian sebagai tempat untuk beriadah dan bersantai. Terdapat juga kawasan-kawasan lain di daerah Serian yang menarik untuk dikunjungi tetapi kawasan tersebut belum di majukan lagi.
Dari masa ke semasa, terdapat banyak pembangunan dan kemajuan yang di lakukan oleh pihak kerajaan untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk di Sarawak. Akibat pembangunan yang semakin pesat, pihak Pejabat Daerah Serian dan juga agensi kerajaan yang lain berusaha untuk membangunkan Bandar Serian supaya sentiasa maju mengikut peredaran masa. Usaha-usaha tersebut telah merubah wajah Daerah Serian daripada bandar lama menjadi bandar maju yang berwajah bersih, ceria dan mesra.
2) Pejabat Daerah Serian
Secara umumnya, pentadbiran untuk Daerah Serian adalah di bawah pentadbiran dan pengurusan Pejabat Daerah Serian. Pejabat Daerah Serian memainkan peranan penting dalam memastikan perkembangan pembangunan di Daerah Serian selain menjaga kebajikan dan kepentingan penduduk daerah ini. Pejabat Daerah Serian dirasmikan pada 28 Ogos 1971 oleh YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Rahman Yakub.
a) Pejabat Daerah Serian - Lama
b) Pejabat Daerah Serian - Baru