SERIAN, 17 Mac: Masjid Bahagian Serian yang telah siap dinaik taraf dan dibuka kepada awam awal tahun ini diberikan nama baharu iaitu Masjid Darul Makmur.
Nama baharu yang membawa maksud ‘tempat yang sejahtera’ itu diumumkan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini, bersempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran 1446H/2025M.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyempurnakan majlis sambutan pada malam ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, dan ADUN Kedup, Martin Ben.
Untuk rekod, masjid ini mula dinaik taraf pada 2018 dengan peruntukan berjumlah RM9 juta. Ia mula dibuka kepada umum pada Januari 2025.
Masjid Darul Makmur dapat menampung sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa serta turut dilengkapi kemudahan seperti bilik akad nikah, bilik seminar, dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah, TASKA dan pejabat.
Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha memaklumkan konsep unik ‘baruk’ atau rumah khas bagi etnik Bidayuh, pada masjid ini dikekalkan sebagai lambang kepada masyarakat Bidayuh yang banyak mendiami kawasan ini.
Tambahnya, konsep ini merupakan aspirasi bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud untuk Bahagian Serian. – TVS