picture
 

Tiga bahagian projek Lebuh Raya Trans Borneo diluluskan, kini dalam peringkat perancangan

Posted on 24 May 2023
Source of News: UTUSAN BORNEO ONLINE
KUCHING: Tiga bahagian projek Lebuh Raya Trans Borneo telah diluluskan dan kini dalam peringkat perancangan dengan pembinaannya dijangka bermula pada suku pertama 2024, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jelas beliau, projek yang diluluskan ini melibatkan bahagian Kuala Baram ke Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri sepanjang 4.9 kilometer (km), ICQS Tedungan ke ICQS Pandaruan, Limbang (57.3km) dan pekan Lawas ke ICQS Merapok, Lawas (34.1km).

“Lebuh Raya Trans Borneo dengan jumlah jalan sepanjang 96.3km itu akan menghubungkan Sarawak ke Sabah melalui Brunei Darussalam.

“Kesemua tiga bahagian (yang telah diluluskan) sedang dalam peringkat perancangan dan pembinaan dijangka bermula pada suku pertama 2024,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mengenai pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak, Uggah memaklumkan bahawa kemajuan keseluruhan penyiapan LPB setakat April 2023 ialah 94 peratus dengan 11 bahagian telah siap sepenuhnya berbanding tujuh bahagian yang dilaporkan pada sidang DUN lalu.

Pembinaan LPB sepanjang 786km merupakan salah satu projek infrastruktur mega di Sarawak dan telah dibahagikan kepada 25 bahagian daripada 11 pakej kerja, untuk memenuhi garis masa penghantaran yang disasarkan.

“Empat bahagian tambahan yang telah siap ialah Jalan Kuching-Serian (Persimpangan - 5km), Pantu (41km), Betong (34km) dan Bakun (42km).

“Sementara itu, baki 13 bahagian berada di peringkat akhir penyiapan dengan kemajuan individu pembinaannya antara 85 hingga 95 peratus.

“Disebabkan isu teknikal, hanya 34.5km bahagian Lambir akan siap pada penghujung 2023 manakala baki 4.5km akan siap pada 2026,” kata Uggah.

Apabila siap kelak katanya, LPB akan menyediakan penghubung jalan yang lancar antara wilayah berbeza, memudahkan perdagangan dan pelancongan serta menyumbang kepada impak transformatif terhadap landskap sosial dan ekonomi Sarawak.

Sementara itu, Uggah memaklumkan setakat April 2023, kemajuan fizikal untuk Sarawak Sabah Link Road (SSLR) Fasa 1 adalah mengikut jadual (13.63 peratus) dan dijangka siap pada Januari 2026.

Terdahulu, kerajaan persekutuan meluluskan pembinaan SSLR yang akan menghubungkan Miri-Limbang-Lawas dengan panjang keseluruhan 398km.

Ini merangkumi 76km untuk SSLR Fasa 1 (dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng) dan 322km untuk SSLR Fasa 2 yang dibahagikan kepada empat pakej.

“Bagi SSLR Fasa 2, kesemua empat pakej tersebut kini dalam peringkat perancangan dengan pembinaan dijangka akan dimulakan pada suku keempat 2023.

“Untuk makluman, penjajaran SSLR Fasa 2 terdiri daripada Pakej 1: Mulu ke Long Seridan (61km), Pakej 2: Long Seridan ke Nanga Mendamit (101km), Pakej 3: Long Lopeng ke Long Komap, Ba’Kelalan (63km) dan Pakej 4: Rumah Aling ke Long Merarap (97km),” jelas beliau.