Dua Projek Kesihatan Diluluskan, Tingkat Perkhidmatan Hospital & Klinik Di Serian

Posted on 07 Jan 2026
Source of News: UKAS
Dua Projek Kesihatan Diluluskan, Tingkat Perkhidmatan Hospital & Klinik Di Serian
 
SERIAN: Dua projek pembangunan kesihatan bernilai keseluruhan RM3.6 juta di bawah Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) telah diluluskan sekali gus dijangka meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, projek pertama melibatkan menaik taraf Wad Pediatrik di Hospital Serian dengan peruntukan RM600,000, bertujuan menambah baik kemudahan serta keselesaan pesakit kanak-kanak dan waris mereka.

Menurut beliau, lawatan seterusnya diteruskan ke Klinik Kesihatan Serian bagi penyerahan surat kelulusan Projek Pembinaan Bangunan Unit Terapi Cara Kerja dan Fisioterapi (OT/PT) serta kemudahan tempat letak kenderaan, melibatkan peruntukan RM3 juta.

“Kedua-dua projek ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Main Steering Committee GKCDA dalam mesyuarat pada Oktober lalu. Penyerahan surat kelulusan hari ini membolehkan pelaksanaan projek dimulakan dengan segera,” katanya di sini pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian telah dilantik sebagai jabatan teknikal bagi melaksanakan projek berkenaan dengan kerjasama pihak Hospital Serian dan Klinik Kesihatan Serian bagi memperincikan skop serta keperluan teknikal.

Dalam perkembangan berkaitan, John menjelaskan bahawa perancangan asal melibatkan pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat bernilai sekitar RM4 juta, namun selepas mengambil kira keutamaan keperluan perkhidmatan kesihatan, projek tersebut ditukar kepada pembinaan Unit Terapi OT/PT yang turut menyediakan kemudahan parkir.

“Saya berharap pihak Kementerian atau Jabatan Kesihatan dapat mengeluarkan kelulusan bertulis secara rasmi supaya tiada sebarang isu atau kekeliruan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kelulusan dan pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kemudahan kesihatan awam serta memastikan penduduk Serian menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, efisien dan berkualiti.-EDISI UKAS