SIBURAN: Lebih tujuh dekad selepas penubuhannya, Sekolah Kebangsaan (SK) St. Alban Duras terus berdiri sebagai simbol ketekunan dan harapan pendidikan luar bandar untuk melahirkan modal insan dari masyarakat Bidayuh.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, berkata sekolah berkenaan antara institusi pendidikan terawal di kawasan tersebut dan telah memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masyarakat Bidayuh yang berpendidikan.
“Sekolah mubaligh bukan sahaja membina rumah ibadat, malah membawa misi pendidikan jangka panjang yang menjadi pemangkin perubahan sosial dan ekonomi masyarakat luar bandar,” ujarnya semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Murid 2025 SK St Alban Duras, di sini, pada Rabu.
Mengimbau kejayaan anak tempatan, beliau turut menyebut tokoh tersohor Bidayuh, Allahyarham Dr Mosko Ruben, antara individu terawal daripada komuniti tersebut yang melanjutkan pengajian perubatan di Universiti Oxford.
Kejayaan itu, katanya, menjadi bukti jelas bahawa pendidikan mampu mengubah nasib dan membuka laluan kepada pencapaian di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu menegaskan bahawa pendidikan merupakan antara tiga teras utama perjuangan beliau, selain pembangunan infrastruktur dan penyediaan kemudahan asas.
Beliau turut menyokong penuh hala tuju Kerajaan Sarawak yang memberi penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai asas penting dalam membangunkan Sarawak ke arah negeri berteknologi tinggi dan berdaya saing pada masa hadapan.
Sebagai manifestasi sokongan tersebut, beliau meluluskan peruntukan khas berjumlah RM40,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Alban Duras bagi pelaksanaan projek keperluan sekolah.
Turut hadir ialah Guru Besar SK St Alban Duras Megos Simak, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Serian Harrisman Dollen, Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Sarjan Zurizam Mohd Zulkifli. -EDISI UKAS