
TEBEDU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pichin sebagai ‘role model’ pentadbiran kampung di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, menyifatkan kepimpinan JKKK Pichin sebagai mantap dan berwibawa sehingga membawa banyak kemajuan kepada penduduk setempat.
“JKKK Pichin menonjol sebagai contoh terbaik dalam aspek pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi kampung serta kesejahteraan sosial, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi JKKK dalam merancang pelbagai projek kemasyarakatan dan pembangunan berfasa.
“Selain itu, kestabilan politik di Kampung Pichin menjadi faktor utama yang memastikan kesinambungan agenda pembangunan berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Malam Apresiasi JKKK Pichin 2025, di sini, pada Sabtu.
JKKK Piching yang diterajui oleh Ketua Kampung Rioi Lagit selama 14 tahun membuktikan kepimpinan akar umbi yang berkesan dalam usaha memelihara kemakmuran serta kesejahteraan komuniti setempat.
Menyentuh pembangunan di kawasan Kampung Pichin, Dr Simon menjelaskan kampung berkenaan telah menikmati limpahan pembangunan melalui pelbagai projek bernilai RM1.2 juta, merangkumi pembinaan Jalan Pertanian, sistem perparitan, Tembok Gereja St Trinitas Kudus serta Jambatan Ikonik Sungai Karu dalam tempoh tahun 2022 hingga 2025.
Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan Cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM667,000 kepada empat sekolah dan gereja di bawah DUN Tebedu sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong keperluan institusi pendidikan dan keagamaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Serian Henry Inting Nyami dan wakil Residen Serian Suzanna Pidan. -EDISI UKAS